MANA BARANG YANG 'FREE'?
Bila suami balik kerja, isterinya suruh ke pasaraya untuk membeli barang-barang dapur. Jadi pergilah si suami membeli semua barang-barang yang dipesan.
Bila pulang ke rumah, isterinya mengambil beg-beg plastik dan membawa keluar semua barang untuk disimpan. Isteri terjumpalah satu tin marjerin. Di luar tin tu ada tulis ...... FREE...
Isteri tanya si suami, mana benda yang 'FREE' ini? Kenapa tak ambil? Suami katalah lupa hendak meminta benda itu tadi. Maka isterinya pun menyuruh suami pergi semula ke pasaraya tersebut untuk menebus benda 'FREE' itu.
Suami pun pergilah membawa tin planta tadi jumpa jurujual untuk menebus benda 'FREE' yang tertulis. Bertengkarlah suami tadi dengan jurujual terbabit. Jurujual itu kata benda 'FREE' itu ada dalam tin. Suami kata mana boleh, dalam mesti tak ada punya.Dia terus meminta dari jurujual.
Penyelia yang kebetulan lalu di situ dan terdengar pertengkaran mereka. Apabila ditanya, dia pula dimarahi oleh si suami tadi. Si suami berkenaan minta juga benda 'FREE' dari penyelia itu. Suami tadi tunjuk tin planta yang ada bertulis 'FREE' itu. Supervisor tadi belek kanan belek kiri tin planta tersebut. Dia membaca tulisan berbahasa Inggeris itu .....CHOLESTEROL FREE...!!!
AKIBAT TUNJUK PANDAI
Mamat ini amatlah tergila-gilakan Minah anak Pak Haji Dollah. Minah tersebut bolehlah tahan cunnya. Mamat ini pun tak kalah kacaknya. Ngorat punya ngorat, tersangkutlah dua hati ini. Pak Haji Dollah bukanlah jenis yang memilih sangat orangnya, tambahan pulak si Mamat ini pandai berlakon depan Pak Haji Dollah. Dia bukan main warak lagi, berkopiah di kepala.
Selepas ditetapkan hari kahwinnya, maka semuanya berjalan dengan lancar. Malam itu agak lewat sedikit keluarga Haji Dollah masuk tidur kerana sibuk berkemas rumah selepas kenduri siangnya. Pasangan Mamat dan Minah pun lewat jugalah masuk tidur. Agak terganggulah juga kemanisan malam pertamanya itu.
Selepas semuanya selesai dan semuanya nyenyak tidur, Pak Haji Dollah mengejutkan semua isi rumah untuk solat subuh. Semua isi rumah pun bangun dan si Mamat dan Minah pun bangun mandi dan bersiap untuk mendirikan solat subuh. Tapi dek kerana lewat bangun,
maklumlah malam pertama, Si Mamat tak sempat bersolat jemaah dengan Pak Haji Dollah.
Walaupun telah dikejutkan awal oleh isterinya Minah, dia asyik berbaring dek kerana penat, membetulkan urat-urat yang lenguh semalam.
Maka, Pak Haji Dollah pun suruhlah menantunya itu solat sendirian ketika ahli keluarga lainnya sedang berwirid.
Si Mamat pun qamat dan dirikanlah solat subuhnya. Selepas selesai solatnya dan memberi salam, Pak Haji Dollah pun menegur menantunya Si Mamat tadi, "Hai, Mat... kenapa solat subuh tiga rakaat?" lantas Si Mamat jawab, "Eh, ya ke tiga rakaat? Rasa-rasanya dah cukup empat rakaat tadi."
"Masya Allah..," mengucap panjang Pak Haji Dollah. Si Minah tersenyum sipu malu dengan gelagat suaminya. Rupanya si Mamat ini tak pernah sembahyang Subuh. Dia tak tahu yang solat subuh tu dua rakaat.
JANDA YANG DAHAGA
Hasnah seorang janda kaya yang baru kematian suami akibat kemalangan jalanraya. Beliau masih muda lagi dan mempunyai potongan badan yang cantik.
Pada satu malam beliau begitu dahaga untuk minum kerana cuaca panas. Beliau bangun dan keluar dari bilik menuju ke dapur untuk mencari air bagi menghilangkan dahaganya. kemudian beliau tidur semula. TAMAT... (Habis tu, apa yang korang fikir?)
PAK PANDIR BERJUMPA DOKTOR
Pada suatu hari, Pak Pandir telah berjumpa dengan seorang doktor psikologi untuk bertanyakan tentang suatu masalah pada dirinya.
Pak Pandir: Tuan doktor, semua orang kata otak saya lembab. Betulkah tuan doktor? Apakah tanda-tanda bahawa otak seseorang itu lembab?
Doktor: Saya akan bertanya satu soalan. Jika pakcik tak mampu menjawabnya otak pakcik memang betullah lembap.
Pak Pandir: Apakah soalannya tuan doktor?
Doktor: Kapten Hook dikatakan orang pertama yang belayar mengelilingi bumi. Malangnya dia cuma sempat belayar sebanyak 3 kali sebelum meninggal dunia. Pada pelayarannya yang keberapakah dia meninggal dunia?
Pak Pandir: Mmmm... Tukar soalan lain boleh doktor?
Doktor: ???
P/s: Kalau anda juga tidak dapat menjawab soalan doktor itu bermakna anda juga...
KURA-KURA TIGA BERSAHABAT
Pada suatu hari, ada 3 ekor kekura (kura-kura) hendak pergi berkelah bersama-sama. Kekura pertama membawa makanan, kekura kedua membawa minuman, sedangkan kekura ketiga tidak membawa apa-apa pun.
Di dalam perjalanan tiba-tiba hujan pun turun dengan lebatnya, sehingga mereka tidak boleh meneruskan perjalanan. Kemudian timbul perbualan di antara mereka.
Kekura I: "Ermmm..... salah seekor daripada kita mesti balik untuk amik payung. Siapa yang nak pergi ni?"
Kekura II dan I saling pandang memandang, dan sepakat menuding Kekura III.
Kekura III: "Tak nak lah. Aku jalan lambat dan nanti aku nak sampai sini lagilah terlambat. Pasti korang akan bedal makanan ni semua."
Kekura I & II: Taklah. "Kita orang tunggu sampai engkau datang."
Kekura III: "Betul??? Kalau aku lambat 1 jam?"
Kekura I & II: "Kita orang akan tetap tunggu."
Kekura III: "Kalau 3 jam?"
Kekura I & II: "Kita orang akan tetap tunggu."
Kekura III: "Kalau 1 hari?"
Kekura I & II: "Kita orang akan tetap tunggu."
Kekura III: "3 hari?"
Kekura I & II: "Kita orang akan tetap tunggu."
Kekura III: "5 hari?"
Kekura I & II: "Kita orang akan tetap tunggu."
Kekura III: "1 minggu?"
Kura I & II: "Kita orang akan tetap tunggu."
Kekura III: "2 minggu?"
Kekura I & II: "Kita orang akan tetap tunggu. Engkau pergi je lah."
Dengan berat hati, akhirnya Kekura III pun berangkat. Kekura I & II menunggu dengan setia. Sehari, dua hari dan seminggu telah berlalu. Kekura III tidak juga balik.
Setelah dua minggu berlalu, Kekura I & II sudah tidak dapat menahan lapar.
Kekura I : "Aku dah tak tahan lapar ni. Kita makan je lah."
Kekura II: "Aku pun dah nak pengsan ni. Jom kite habiskan makanan ni."
Tiba-tiba Kekura III muncul dari semak dan berseru "Hoi! Nasib baik aku belum pergi lagi. Kalau tak, pasti engkau orang habiskan makanan ni kan ? kan ?!!!"
SURAT MAHASISWA KEPADA AYAHNYA
Seorang mahasiswa menulis surat kepada ayahnya yang berbunyi begini:
Ayah,
Saya merasa tidak selesa kerana terus menerus menulis surat kepada ayah untuk meminta wang. Saya merasa malu dan sedih. Saya ingin meminta wang sebanyak RM1000 daripada ayah, walaupun setiap bahagian tubuh saya memberontak. Saya meminta dengan tulus dari hati saya yang paling dalam, ayah maafkan saya.
Salam dari anakanda,
Sarip.
P/s: Saya merasa berat hati untuk mengirimkan surat ini, jadi saya cuba untuk mengejar posmen yang mengambil surat ini dari dalam peti surat . Saya ingin mengambil kembali surat ini dan membakarnya, kerana surat ini pasti menyusahkan hati ayah. Saya berdoa dalam hati agar saya dapat semula surat ini, tapi sudah terlambat.
Beberapa hari kemudian dia menerima balasan surat dari ayahnya yang mengandungi ayat yang ringkas:
Kepada Sarip,
"Nak, doamu sudah dimakbulkan. Suratmu tidak pernah ayah terima"
Dari Ayahmu.
PENJUAL TELUR BUAT PENING
Pada suatu hari di Pekan Rabu, seorang pembeli ingin membeli telur.
Pembeli: "Dik, telur sekilo berapa?"
Penjual: "Telur ayam atau telur itik?"
Pembeli: "Telur ayam."
Penjual: "Telur ayam biasa atau ayam kampung?"
Pembeli: "Ayam biasa."
Penjual: "Yang tempatan atau yang import?"
Pembeli: "Yang tempatan."
Penjual: "Yang tempatannya mahu yang dari Ipoh , Kuala Selangor atau Tampin?"
Pembeli: "Yang Ipoh lah..." (Sambil terlihat kesal).
Penjual: "Mahu yang Ipoh Pusat, Barat, Timur, Utara, atau Selatan?"
Pembeli: "Adik ni jual telur atau nak jalan-jalan? "
Penjual: "Maaf kak, saya penjual mee rebus kat sebelah. Kebetulan yang jual telur pergi makan. Saya disuruh berbual dulu dengan pembeli sampai dia datang."
SALAH TULIS NAMA
Ini cerita yang berlaku beberapa tahun lepas. Dua sahabat, Dol dan Man sedang pulang dari dari kerja pada pukul 2 pagi. Tayar motor pancit pula di pertengahan jalan. Jadi, terpaksalah mereka sorong. Sampai di satu simpang, Dol dan Man mengambil jalan pintas.
Mereka berdua sudah tahu bahawa dengan melalui jalan pintas, mereka akan menempun sebuah perkuburan cinta. Seram juga dua orang jejaka ini tetapi sengaja sembunyikan ketakutan sambil membuat lawak.
Tiba-tiba terdengar bunyi ketukan pada batu. Bulu roma Dol dan Man mula menegak.
Kemudian nampaklah bayang-bayang orang sedang mengetuk sesuatu di sebuah kubur.
Rupa-rupanya seorang Cina tua sedang memahat batu kubur.
"Aiya apek, lu apa bikin kerja malam-malam? Bikin orang takut saja. Esok siang buat la," kata si Dol marah.
"Aiya, itu bodo punya olang aaa, gua punya nama pun talak betul tulis," kata apek tersebut.
JURUJUAL YANG MALANG
Seorang penjual 'vacum cleaner' menuju ke sebuah rumah. Diketuknya pintu depan. Belum sempat wanita tuan rumah itu berkata sepatah pun, dia menghamburkan segala macam kotoran ke karpet ruang tamu.
"Puan, saya yakin akan kemampuan mesin ini. Karpet ini akan bersih kembali dalam sekelip mata. Jika nanti masih ada kotoran yang tertinggal, saya bersedia memakannya," kata jurujual dengan penuh yakin.
"Kalau begitu," kata wanita tersebut, "Mulailah makan. Rumah kami belum ada eletrik."
TIGA ORANG GILA
Terdapat tiga orang gila dalam satu institusi sakit jiwa. Mereka terdiri dari Junior, Senior dan Veteran, disusun mengikut jangka masa di institusi tersebut.
Suatu hari, doktor yang merawat mental mereka mahu menguji keadaan mereka. Maka seorang demi seorang dipanggil.
Junior orang pertama dipanggil. Doktor itu memberi situasi.
"Kamu, kalau dihantar ke padang pasir, apa benda paling penting dibawa bersama?"
Junior berfikir seketika. " Padang pasir panas..." Doktor angguk. " Ada harapan nak dilepaskan ni..." hati doktor berdetik.
"Jadi saya nak bawa air. Haus kalau duduk sana ."
Doktor tersebut sangat senang hati mendengar jawapan Junior. Kemudian, dia memanggil Senior pula. Soalan sama ditanya oleh doktor itu.
"Yang saya tau, padang pasir tu panas..." Senior berkata setelah berfikir panjang.
"Ya!" Jawab doktor terbabit penuh semangat.
"Saya nak bawa kipas, mesti berpeluh betul duduk di sana !"
Doktor berkenaan puas hati dengan jawapan yang diberikan. Kemudian, Veteran pula dipanggil.
"Awak dah lama benar di sini kan ?"
"Ya, tuan doktor" jawab Veteran selamba.
Kemudian doktor itu ajukan soalan sama seperti dua rakan Veteran sebelum ini.
"Oh, padang pasir, memang panas betul sana ," Veteran tidak ambil masa panjang berfikir, sambil menjawab dengan selamba sahaja.
"Ya!" doktor cukup senang hati, dalam fikirannya pasti Veteran sudah sembuh, boleh dilepaskan pada bila-bila masa.
"Kalau begitu, saya rasa nak bawa pintu kereta..."
Tersentak seketika doktor mendengar jawapan Veteran.
"Kenapa pula nak bawa pintu kereta ke padang pasir?"
Veteran dengan penuh yakin menjawab, "Kerana, kalau panas sangat, saya boleh buka tingkap kereta. Masuk angin sikit!"
SELESEMA BURUNG
Seorang lelaki menghubungi doktor panelnya untuk memberitahu suatu masalah.
"Doktor," kata seorang ayah melalui telefon, "Anak lelaki saya menderita Selsema Burung."
"Saya tahu,"jawab doktor.
"Semalam saya telah ke rumah anda dan memberinya ubat. Pisahkanlah dia dari semua orang yang ada di rumah."
"Tapi, doktor," kata ayah yang cemas itu.
"Dia telah mencium pembantu rumah kami."
"Kasihan. kalau begitu dia juga perlu dikuarantin. "
"Tapi, doktor, saya juga telah mencium pembantu itu."
"Wah, ini rumit. Bererti anda juga sudah menyimpan benih penyakit itu."
"Ya, dan tidak lama setelah itu, saya juga mencium isteri saya."
"Celaka," jawab doktor, "Kalau begitu saya sudah dijangkiti."
TIDAK NAMPAK LAMPU MERAH
Seorang mat motor telah ditahan setelah melanggar lampu isyarat merah. Sebelum polis menyamannya, dia bertanya kepada mat motor tersebut, "Kenapa kamu tidak berhenti ketika lampu merah menyala? Kamu tidak nampak ke?"
"Saya nampak, encik," jawabnya perlahan.
"Habis tu, kenapa kamu tidak berhenti?" tanya polis tersebut lagi yang tidak berpuas hati.
"Saya tidak nampak encik. Kalau saya nampak encik di situ, saya pasti tidak akan melanggar lampu merah," jawabnya.
SIAPA DI LUAR?
Seorang penjenayah tua yang menyorok di pinggir kampung sedang sakit tenat. Dia sedang berbaring di atas katil lusuhnya. Tiba-tiba kedengaran satu ketukan kuat di pintu rumahnya.
"Siapa di luar?" jerit orang tua itu dengan ketakutan.
"Saya Malaikat Maut!"
"Oh, syukurlah! Saya ingat anggota polis yang datang."
BAPA DAN TIGA ANAKNYA
Seorang bapa berjalan dengan tiga orang anaknya, masing-masing berumur 8, 5 dan 3 tahun. Mereka memasuki kedai tempat saya bekerja. Bapa itu nampak berfikir keras ketika saya bertanya.
" Ada yang dapat saya bantu?"
"Saya ingin membeli sesuatu tetapi tidak dapat mengingati kesemuanya," jawab bapa tersebut. Lalu dia memandang ke arah anak-anaknya dan bertanya, "Baiklah anak-anak sekalian, selain katil dan pintu bilik air, apa lagi benda yang korang rosakkan dalam minggu ini?"
ADA SISA MAKANAN, ENCIK?
Seorang pengemis pergi ke sebuah warung dan bertanya, " Ada sisa makanan, encik?"
Tuan warung pun menjawab, "Tidak ada." Pengemis itu pun mengeluh, "Iya la, nasibku." Lalu dia berlalu pergi.
Keesokan harinya, pengemis tersebut pergi ke warung itu lagi dan bertanya soalan yang sama. Begitu juga hari-hari yang berikutnya tetapi dia tetap menerima jawapan serupa iaitu 'tidak ada'.
Akibat jemu dengan soalan yang seing ditanya oleh pengemis tersebut, akhirnya tuan warung berkata, "Saya sudah berkali-kali cakap, saya tidak ada sisa makanan untuk diberi kepada kamu. Semuanya habis dijual! Jika kamu bertanya lagi, saya akan paku kaki kamu ke lantai,"
Keesokannya, pengemis itu datang lagi ke warung dan bertanya, " Ada paku?"
"Tidak ada," jawab tuan warung.
Pengemis bertanya lagi, " Ada sisa makanan, encik?"
ANAK DAN BAPA
Jamil pulang dari sekolah dan bercerita pada bapanya yang tidak pernah bersekolah.
Jamil: Ayah, tadi saya dimarah oleh cikgu!
Ayah: Kamu buat silap apa, Jamil?
Jamil: Tadi saya tidak dapat menjawab pertanyaan cikgu.
Ayah: Apa yang cikgu tanya?
Jamil: Cikgu tanya, di mana letaknya Washington .
Ayah: Bodohnya kamu! Lain kali kalau kamu sudah meletakkan sesuatu benda, jangan lupa di mana tempatnya!
27 May 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment