29 January 2009
Teknologi Pembunuh Bahasa?
Salah satu tulisan yang disiarkan di Harian Metro semalam. Topik berkaitan teknologi yang turut menyentuh budaya berkomunikasi semasa. Ada komen?
MASALAH bahasa ringkas dalam dunia digital seperti `mn ko nk pegi?' atau
ayat sebenarnya `ke mana kau mahu pergi?' bukanlah isu baru namun ia
belum mendapat perhatian ramai.
Kalau dulu ringkasan melalui khidmat sistem pesanan ringkas (SMS)
mungkin disebabkan had teks sebanyak 150 perkataan yang ditawarkan dalam
telefon bimbit menjadi penghalang, namun apa pula alasannya jika
bersembang atau chatting di ruang siber kerana jumlah teks tidak pula
dihadkan?
Tentunya, bahasa ringkas membawa implikasi besar dalam kehidupan
manusia kerana ia membabitkan komunikasi harian serta membabitkan jati
diri setiap bangsa diwakili.
Pakar bahasa dan motivasi, Dr Rubiah K Hamzah, berkata bahasa singkatan
menjadi amalan harian memandangkan ia sentiasa didengar, dilihat dan
dipertontonkan terutama dalam teknologi semasa.
"Amalan seharian yang diguna pakai ini menjadi ikutan remaja
diperturunkan daripada ibu bapa sehingga mereka mengadaptasikan sebagai
bahasa ringkas dalam perbualan siber," katanya.
Menurut beliau, remaja akan sentiasa peka menggunakan setiap perkara
yang didengar, ditonton dan dilihat setiap hari termasuk penggunaan
bahasa ketika mereka menggunakan teknologi seperti ruang sembang siber,
SMS dan blog.
"Ledakan teknologi menyebabkan bahasa turut masuk dalam arus
perkembangannya memandangkan ia bentuk komunikasi digunakan seharian.
"Secara tidak langsung ia mempengaruhi komunikasi secara online apabila
pengguna mahu menggunakan bahasa ringkas atau rojak untuk berhubung
antara satu sama lain," katanya.
Katanya, penggunaan bahasa ringkas dan rojak secara berleluasa tanpa
sekatan mengakibatkan remaja malas untuk mempelajari bahasa sebenar
secara menyeluruh.
"Bahasa ringkas dan rojak digunakan lebih meluas berbanding bahasa
sebenar kerana penerimaannya lebih selari dengan aliran kini sehinggakan
remaja kurang berminat untuk berkomunikasi melalui bahasa terutama bahasa
Melayu yang memiliki tatabahasa dan frasa lebih tersusun," kata Dr
Rubiah.
Beliau berkata, penggunaan ayat dalam ruang sembang siber seperti Yahoo
Messenger, Messenger mengurangkan pengayaan bahasa dalam jiwa remaja.
"Boleh dikatakan teknologi memperkenalkan bahasa yang kurang tersusun
dari segi tatabahasa, frasa dan banyak aspek lain memandangkan ia tidak
diambil berat dalam bidang terbabit," kata Dr Rubiah.
Menurutnya, jika keadaan itu berterusan, masyarakat akan membenarkan
bahasa terutama bahasa Melayu rosak memandangkan keindahan ayat
terkandung di dalamnya bakal terhakis.
"Sebaik fenomena terbabit menular tanpa kawalan di kalangan remaja,
mereka beranggapan tutur bahasa yang baik dipandang enteng kerana
penggunaan bahasa ringkas lebih diutamakan dalam perbualan online,"
katanya.
Dr Rubiah berkata, amat sukar untuk mendidik remaja menggunakan bahasa
dengan tepat dalam perbualan harian serta mengelak untuk mempelajari
lenggok keindahan bahasa apabila beranggapan penggunaannya tidak perlu
serius.
"Tentunya ramai menyuarakan pandangan, apa perlunya bahasa yang
dipelajari secara tersusun jika bahasa ringkas lebih mudah dan kerap
digunakan seharian," katanya.
Beliau berpendapat, generasi yang terhasil daripada pembangunan
teknologi tidak seimbang boleh mengundang keanehan kaedah komunikasi
lebih kasar berasaskan bahasa kurang sopan.
"Malah, kedudukan bahasa itu sendiri akan tergugat mengakibatkan
keindahannya terhakis dek campur aduk istilah sehingga mengganggu
strukturnya sendiri yang secara tidak langsung memupuskan ketamadunan
bangsa," kata Dr Rubiah.
Tambahnya, aspek jangka panjang akibat masalah bahasa ringkas di ruang
sembang siber dan SMS boleh mengakibatkan generasi baru tidak lagi
terliur untuk mempertahankan bahasa sebenar mereka memandangkan bahasa
ringkas lebih sebati dalam jiwa.
"Inilah virus lebih teruk daripada serangan virus yang menular ke
sistem komputer apabila `virus jiwa' dibawa teknologi itu sendiri tidak
disedari manusia secara terang-terangan walaupun kita bukanlah mahu
menidakkan perkembangannya," katanya.
Menurutnya, manusia kerap berbicara mengenai tahap pemikiran tertinggi,
tetapi terlupa memperkatakan tahap bahasa yang semakin rendah akibat
perkembangan arus teknologi.
"Hilang bahasa bermakna terhapuslah jati diri manusia itu sendiri
seterusnya menghilangkan martabat yang sepatutnya dipertahankan.
"Kita tidak dapat mengelak daripada ledakan teknologi, tetapi jika
tidak terkawal, ia menyebabkan orang ramai `ditapaikan' dengan penggunaan
bahasa kurang cantik sehingga adab sopan pun boleh terabai," katanya.
Beliau menasihatkan masyarakat agar tidak menciplak bahasa ringkas atau
rojak sebagai bahasa rasmi melalui ruang teknologi yang ada ke dunia
sebenar sehingga menjadikan bahasa sendiri parah diserang tanpa disedari.
"Semua pihak perlu memberi kerjasama dalam mempertahankan keindahan
bahasa sendiri kerana ia adalah nadi bangsa seterusnya membina masyarakat
berakhlak mulia di zaman letusan teknologi melanda dunia," katanya.
Masalah bahasa ringkas membabitkan seluruh bahasa dituturkan masyarakat
sedunia, malah terdapat laporan di Dublin sedikit masa lalu yang
mendapati SMS mengancam kemampuan pelajar sekolah menulis, menurut ahli
akademik.
Menurut Suruhanjaya Peperiksaan Dublin, kesalahan nahu dan tatabahasa
pelajar kini di tahap membimbangkan.
"Kewujudan telefon bimbit dan peningkatan penggunaan SMS dalam
komunikasi nampaknya memberi kesan kepada tahap penulisan pelajar,"
menurut laporan itu.
Dalam banyak keadaan, laporan berkenaan menyatakan, pelajar gemar
menggunakan perkataan ringkas, ayat mudah dan perbendaharaan kata terhad.
Sementara itu, pensyarah bahasa Inggeris Universiti Teknologi Mara
(UiTM), Prof Madya Raishah Abd Hamid, berkata masalah bahasa ringkasan di
arus teknologi membabitkan semua bahasa di dunia dan mampu mengundang
masalah jangka panjang.
"Masyarakat gemar meringkaskan bahasa dengan menggunakan ayat tertentu,
tetapi tidak menyedari ia dilakukan tanpa perbendaharaan tepat
sehinggakan bahasa jadi tunggang terbalik," katanya.
Menurut Prof Raishah, ejaan yang digunakan dalam Yahoo Messenger,
GoogleTalk, MSN Messenger dan sebagainya mempengaruhi kosa kata digunakan
ketika belajar dan mengarang esei.
"Saya sendiri berpengalaman memeriksa ayat ditulis pelajar mendapati
ada antara mereka yang sudah biasa menggunakan bahasa ringkas melakukan
perkara sama ketika belajar," katanya.
Menurutnya, ia mengundang kesalahan ejaan yang ketara seperti
penggunaan `U' bagi menggantikan `You' tanpa disedari akibat terlalu
biasa dengan perbualan harian di ruang siber.
"Tidak cukup dengan itu, pelajar yang mengaplikasikan bahasa teknologi
malas untuk mengarang esei panjang apabila merasakan ia menyusahkan
mereka," katanya.
Prof Raishah turut berpendapat tahap komunikasi masyarakat akan merudum
kerana terlalu berhubung dengan mesin berbanding manusia.
Pakar bahasa, Prof Dr Datuk Nik Safiah Karim pernah menceritakan
keadaan di Amerika Syarikat satu ketika dulu apabila seorang guru
mengeluh kerana tidak memahami perkara yang ditulis pelajarnya
memandangkan bahasa digunakan tidak menyerupai bahasa Inggeris biasa.
Beliau berkata, budaya bahasa dalam teknologi mempengaruhipengguna
komputer dan telefon bimbit sehingga lahir satu generasi yang amat gemar
perhubungan melalui cara ini kerana beranggapan ia lebih cepat, ringkas
dan canggih.
Nik Safiah melahirkan kerisauan apabila dari sudut bahasa itu sendiri,
ia boleh mengakibatatkan bahasa yang buruk, ejaan tidak betul serta sifat
bahasa yang terlalu ringkas sehingga melanggar kemurnian dan keaslian
bahasa.
Menurut Nik Safiah, pelajar perlu dipupuk supaya dapat membezakan
antara bentuk rasmi dan bentuk tidak rasmi bagi mengelak timbulnya
kerisauan mengenai kecacatan bahasa.
Sebaliknya, terdapat kajian yang dilakukan pensyarah universiti
tempatan suatu ketika dulu berpendapat bahasa ringkas melalui SMS mampu
merevolusikan bahasa Melayu.
Kajian Prof Madya Dr Supyan Husin daripada Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) ketika itu yang dibentangkan beberapa tahun lalu
beranggapan, bahasa ringkas tidak boleh menggantikan bahasa Melayu rasmi,
tetapi memungkinkan komunikasi jadi lebih pantas berdasarkan beberapa
kategori bahasa.
Lima kategori singkatan yang boleh diterima pakai adalah singkatan
lazim, singkatan gugur vokal atau konsonan, singkatan lazim kolokial,
singkatan perwakilan bunyi dan singkatan kata ganda, sementara dua
kategori lagi boleh mencemar bahasa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment