27 June 2008



Oleh Afiq Hanif

PELAJAR sekolah di negara ini tidak perlu lagi dibebani beg berat setiap kali menuntut ilmu sebaliknya hanya membawa pemacu USB atau disket apabila syarikat Paperless Homework Sdn Bhd (Paperless) memperkenalkan sistem pembelajaran pintar yang efektif.

Pengarah Urusannya, Alan Foo Ho Kok, berkata syarikatnya mampu menjawab masalah yang sering berlaku terutama di luar bandar apabila kebanyakan komputer di sekolah tidak mempunyai spesifikasi cukup bagi memasang perisian pendidikan di pasaran.

“Kebanyakan sekolah luar bandar memiliki perkakasan komputer yang lama sehingga kadangkala kadar memorinya tidak cukup untuk menjalankan aktiviti pendidikan kerana sarat dengan kandungan grafik, audio dan sebagainya,” kata Alan.

Katanya, Paperless mempunyai rumusan unik menangani masalah itu dengan memperkenalkan perisian Age yang bersesuaian dengan keadaan daif sekolah.

“Bayangkan, puluhan subjek yang mampu dimuatkan dalam satu disket yang mempunyai kapasiti 1.44 megabait dengan beberapa ciri hebat lain,” kata Alan.

Menurutnya, corak pendidikan tradisional memerlukan pelajar menyalin latihan seperti karangan atau soalan dari papan hitam yang ditulis cikgu tapi mengikut kaedah mudah Paperless, ia akan diubah apabila cikgu hanya perlu memasukkan pembelajaran dalam disket.

“Ia menjimatkan masa kerana pelajar tidak menghabiskan waktu menyalin malah perisian ini amat mudah untuk digunakan cikgu walaupun mereka tidak celik teknologi maklumat (IT),” katanya.

Tambahnya, walaupun syarikat itu terpaksa mengorbankan beberapa aspek menarik seperti grafik atau video, ia masih mampu mendidik pelajar ke arah celik IT memandangkan ia akan berkembang secara tidak langsung.

“Beberapa perisian yang digunakan merangkumi aplikasi seperti 'flash' kadangkala membebankan tapi kami mementingkan kandungan meliputi latihan dan penerangan lengkap,” kata Alan.

Di samping itu, Alan turut menegaskan sistem pembelajaran ini membantu mengurangkan penggunaan kertas yang secara tidak langsung menyelamatkan alam sekitar.

No comments: