09 June 2008

Menjimatkan Elektrik Rumah Anda

Oleh Afiq Hanif
mafiq@hmetro.com.my

JIKA perkataan 'naik' disebut pada keadaan sekarang, pasti ramai yang trauma seperti pengumuman kenaikan harga petroleum pada 4 Jun lalu.
Begitu juga dengan pengumuman tarif baru elektrik bagi Semenanjung, berkuatkuasa 1 Julai depan, pasti membebankan penduduk terutama golongan berpendapatan rendah.
Kenaikan tarif elektrik itu berikutan kenaikan melebihi 100 peratus bahan api utama bagi menjana elektrik iaitu gas dan arang batu sejak dua tahun lalu.
Justeru, pengguna perlu bersedia bagi mengelak kenaikan tarif baru membebankan mereka, antaranya menggunakan lampu yang menjimatkan elektrik.
Bagi kebanyakan pengguna di negara ini, mereka sudah biasa menggunakan lampu ‘incandescent’ berbanding ‘fluorescent’ (CFL).
Namun, fakta yang perlu pengguna tahu ialah lampu incandescent lebih banyak menggunakan tenaga elektrik berbanding fluorescent.
Lampu kompak fluorescent (CFL) dikatakan mampu menjimatkan tenaga kerana hanya menggunakan tenaga 15 Watt berbanding lampu incandescent menggunakan sehingga 75 Watt tenaga.
Kuantiti cahaya yang dihasilkan lampu disebut unit Lumen dan ia digunakan bagi pengukur penghasilan cahaya yang menggunakan tenaga.
Ternyata, lampu CFL dan incandescent menghasilkan 900 Lumen cahaya, tetapi pengguna perlu ingat pengiraan tahap keberkesanan Lumen diukur apabila 'output' Lumen itu dibahagikan dengan jumlah tenaga yang dihasilkan bagi setiap lampu.
Contohnya, lampu CFL memiliki output Lumen sebanyak 900 dan ia dibahagikan dengan tenaga digunakan, 15 Watt dan hasilnya ialah 60 Lumen setiap Watt.
Sementara lampu incandescent yang menghasilkan 900 Lumen perlu dibahagikan dengan penggunaan tenaga 75 Watt dan keberkesannya hanya 12 Watt setiap Lumen.
Mengikut Penasihat Kanan Philips Asia Pasifik Untuk Pencahayaan, K Seshadri, CFL adalah salah satu inovasi baru yang mampu menjimatkan penggunaan elektrik selain lebih terang berbanding dengan lampu tradisional.
“Lampu CFL mampu menjimatkan sehingga 80 peratus tenaga untuk menghasilkan jumlah cahaya yang sama dikeluarkan lampu incandescent,” katanya.
Menurutnya, pengguna perlu sedar lampu incandescent hanya mengeluarkan suhu panas yang menyebabkan penggunaan elektrik berlebihan.
“Anda tidak perlu suhu panas itu kerana cuaca di negara ini sudah panas,” katanya.
Beliau berkata, ketika pengguna membuka suis lampu incandescent, ia akan mengakibatkan pusat tenaga menghasilkan karbon dioksida yang banyak.
Satu kaedah yang mampu dilaksanakan untuk menghasilkan teknologi pencahayaan efisyen seperti CFL hanya akan tercapai melalui penguatkuasaan undang-undang dan pendidikan.
Justeru, pengguna di negara ini perlu berani untuk berubah menggunakan jenis lampu yang menjimatkan bagi mengelak menanggung beban kos yang tinggi kelak.
Harga lampu incandescent di pasaran ialah antara RM1.20 hingga RM1.50, tetapi lampu CFL, RM15.
Bagaimanapun, jangka hayat kedua-dua jenis lampu itu berbeza.
Jangka hayat lampu CFL menjangkau sehingga 6,000 atau 8,000 jam, tetapi lampu incandescent hanya 1,000 jam dan terpaksa ditukar berulang kali.
Ketua Pegawai Eksekutif Philips Malaysia Sdn Bhd, Dr R Kumar, berkata kajian syarikat itu mendapati jika setiap isi rumah (kira-kira 5.5 juta) di negara menukar lampu incandescent ke lampu CFL, ia mampu memberi penjimatan kira-kira RM400 juta setiap tahun.
Bagi pengurusan bangunan, ia juga penting memandangkan jumlah tenaga yang banyak digunakan pada waktu siang di bangunan tinggi.
CFL mampu mengurangkan penggunaan mentol di siang hari memandangkan kita memiliki cahaya matahari.
Bagaimanapun, kebanyakan bangunan pencakar langit memasang dinding atau cermin gelap bagi mengelak cahaya matahari sehingga mengakibatkan sumber asli itu tersekat.
Cahaya matahari yang asli itu sekurang-kurangnya dapat menyinari ruangan bilik kerja dan pengguna tidak memerlukan cahaya lampu.
Kini, banyak bangunan baru di Jepun, Amerika Syarikat, dan Eropah merekabentuk bangunan yang menerapkan pencahayaan semula jadi menerusi kaedah tidak terus itu.
Cahaya matahari dialirkan masuk menerusi pantulan alat pemantul luar ke dalam bangunan menerusi siling dan dinding yang dikawal sistem pensuisan dan pengesan cahaya.
Ia dialirkan menerusi corong pemantul cahaya daripada cermin ke bilik atau menggunakan kaedah seperti kanta yang disusun seperti sebuah teropong.
Tahun lalu, bangunan kerajaan di Selangor diwajibkan menutup lampu dan pendingin pada waktu rehat antara jam 1 tengah hari hingga jam 2 petang selain mematikan sistem pendingin hawa berpusat 15 minit lebih awal dari tempoh tamat kerja.
Sementara itu, Thailand pernah mengadakan kempen menutup lampu selama lima minit pada 1 Jun tahun lalu sebagai sebahagian daripada kempen berjimat bekalan tenaga yang diharapkan kerajaan dapat membantu mengurangkan defisit pertumbuhan perdagangan.
Perdana Menteri Thailand ketika itu, Thaksin Shinawatra sendiri mengetuai pengiraan di televisyen untuk menutup lampu yang akan bermula pada jam 8.45 malam pada hari berkenaan.
Thailand mampu menjimatkan 1.2 bilion baht setiap tahun jika setiap rumah menutup lampu selama sejam setiap hari.
Kempen sedemikian mampu memberi kesedaran kepada penduduk negara dalam membantu menjimatkan bil elektrik yang dihasilkan seluruh negara.
Mungkin Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh melakukan kempen seperti di Thailand.
Malaysia memerlukan sistem bersepadu yang membolehkan rakyatnya memiliki sistem pencahayaan yang mampu menjimatkan penggunaan elektrik di samping mengurangkan kos utiliti bulanan selain mengawal pencemaran.

No comments: