15 July 2008

Digital Map For Everyone



Here my story about digital map but it’s deliver in Bahasa. It should be ok beside Bahasa is our national language.




FOKUS IT

Oleh Afiq Hanif
afiq@nstp.com.my


KETIKA mengembara dalam hutan, kita merujuk peta untuk menentukan hala tuju destinasi begitu juga ketika memandu di jalan raya.
Peta menjadi sumber pilihan memandangkan ia amat penting dalam kehidupan malah tidak terkecuali mengalami evolusi dalam perkembangan teknologi.
Teknologi membolehkan peta yang berbentuk fizikal di atas kertas berubah kepada bentuk digital yang dimuatkan dalam perkakasan berasaskan sistem kedudukan global (GPS).
Ketika ramai memuji keupayaan GPS membantu mereka mencari jalan, ada yang terlupa 'nyawa' sebenar peranti itu iaitu sistem peta digital dalamnya,
Memperkenalkan perkhidmatan navigasi dalam kenderaan atau ketika berjalan kaki, peta digital membolehkan pengguna meneroka apa yang ada di sekeliling dengan lebih yakin walaupun bukan berada di tempat sendiri dengan grafik menunjukkan destinasi sebenar.
Mapking dan TeleAtlas adalah syarikat pengeluar yang melakukan penyelidikan berkenaan geografi untuk pembacaan peta tepat serta terkini membolehkan pengguna mendapat peta yang lengkap.
Penciptaan peta digital memudahkan pemiliknya yang mengetahui selok belok jalan memandangkan ia mesra pengguna dengan kaedah peta tiga dimensi (3D).
Sistem peta digital turut membolehkan pengguna mencari destinasi terpilih seperti restoran, hotel, tarikan pelancong, stesen
petrol, bank dan tempat letak kenderaan terdekat yang boleh diperoleh dengan mudah.
Pengeluar peta digital dan kandungan dinamik untuk navigasi, Tele Atlas adalah antara nama besar yang mengungguli industri ini dengan lebih 24 pejabat serta pengalaman 20 tahun dalam bidang berkaitan.
Pengarah Urusan, Asia Pasifik Selatan dan Asia Tenggara Tele Atlas Pte Ltd, Arnout Desmet, berkata keupayaan Tele Atlas dalam inovasi peta digital sentiasa membantu pengguna memperoleh manfaat sebaik mungkin.
Beliau menyatakan syarikatnya berminat untuk meluaskan pasaran di Asia memandangkan benua ini memiliki keupayaan membeli yang tinggi di samping jumlah pendapatan meningkat membolehkan penduduknya menikmati perkembangan digital dengan lebih baik.
“Jika dilihat dari perkembangan ekonomi semasa dan saiz geografi Asia itu sendiri, ia amat berpotensi untuk mengutarakan sistem peta digital memandangkan kemampuannya menarik minat jika dilihat manfaat yang diperoleh,” kata Desmet.
Menurutnya, penduduk di Asia terutama di negara ini semakin peka kepada teknologi dan tidak kekok untuk menggunakan dalam kehidupan seharian maka tidak hairanlah sistem pemetaan digital dalam peranti berasaskan GPS atau GoogleMaps mampu menarik minat mereka untuk mengetahui teknologi terbabit secara mendalam.
“Kemajuan dalam perkembangan teknologi bukan saja menarik minat Tele Atlas untuk memasarkan produk kami namun manfaat yang diterima seperti penyelidikan mengenai keadaan geografi di benua ini dapat digunakan sebaik mungkin bagi memberi kemudahan kepada penduduknya,” katanya.
Kata Desmet, penduduk Asia memerlukan peta digital bukan hanya untuk mencari jalan menuju ke destinasi malah sebagai sumber bagi mendapatkan maklumat setempat.
“Kebanyakan pengguna mengeksploitasi peta digital dengan pelbagai kegunaan contohnya di Eropah serta Amerika Syarikat yang mana kebanyakan penduduknya memiliki lebih dari satu kereta memanfaatkan sistem itu sebagai penunjuk arah.
“Sementara penduduk Asia pula menggunakan peta digital pada telefon bimbit mereka sebagai panduan ketika berjalan kaki dan bukan kereta kerana peranti itu lebih popular,” ulas Desmet.
Beliau menjelaskan, pasaran Asia amat berlainan memandangkan penduduk di benua ini mahukan aplikasi dalam peta digital ditambah selari dengan corak kehidupan mereka seharian yang sibuk serta mencabar.
“Mereka menggunakan peta digital untuk pelbagai urusan seharian yang memberi cabaran kepada kami untuk membangunkan peta digital bersesuaian dengan kehendak mereka,” tambah Desmet.
Desmet memberi contoh, penduduk Asia mahukan komponen tempatan ditambah dalam aplikasi peta digital seperti jadual perjalanan pengangkutan awam, maklumat cuaca atau pelbagai acara untuk dimuatkan bersama.
“Keperluan ini adalah cabaran buat kami kerana kandungan dinamik adalah permintaan hangat penduduk Asia selain input data yang mampat sebagai perkhidmatan tambahan untuk berjaya menembusi pasaran terutama di negara ini,” kata Desmet.
Selain itu, Desmet mengakui penduduk Asia memerlukan peta digital yang dimajukan dengan pelbagai maklumat mengenai kedai, restoran, tempat tinggal dan sebagainya bagi memungkinkan mereka mendapat maklumat yang lengkap.
Ketika menyentuh mengenai perkembangan peta digital di negara ini, Desmet menyatakan Malaysia mempunyai potensi besar kerana jumlah pemilikan kereta dan pejalan kaki amat tinggi.
“Sebenarnya, peta digital mampu menjimatkan minyak contohnya salah satu pelanggan kami dari industri logistik yang menyemak laluan untuk mengoptimumkan perjalanan malah hasilnya menunjukkan ia mampu menjimatkan satu hingga 10 peratus petrol,” jelas Desmet.
“Kami turut melakukan beberapa perbincangan dengan pengeluar kereta tempatan bagi menawarkan peta digital dalam kenderaan yang dihasilkan pada masa akan datang,” jelasnya.
Namun perbincangan itu masih berlangsung dan belum mencapai kata sepakat sama ada ia peta digital Tele Atlas mampu diperoleh pembeli kereta tempatan dalam tempoh terdekat.
Produk yang ditawarkan Tele Atlas meliputi peta digital untuk kegunaan automotif seperti BMW dan Honda sementara peranti tanpa wayar seperti Nokia, Blackberry dan Sony Ericsson adalah vendor yang menggunakan perkhidmatan sistem itu.
Manakala pengeluar peranti mudah alih Garmin turut mendapat manfaat melalui peta digital ini selain perkhidmatan internet termasuk Google, Yahoo dan MSN yang dilihat mampu meraih keuntungan hasil daripada penggunaannya.
Melihat potensi pasaran dan aliran teknologi semasa, Dermet menjangkakan kos mendapatkan peta digital akan lebih murah pada masa akan datang apabila permintaannya semakin meningkat dan persaingan antara syarikat yang memasarkan peranti berasaskan GPS.
Pada masa akan datang, Tele Atlas akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menunjukkan masa sebenar trafik yang disalurkan dengan peta digital membolehkan pengguna jalan raya melihat keadaannya sebelum memulakan perjalanan.
“Setakat ini kami tidak mengadakan perbincangan secara terus dengan pihak berkuasa tempatan tapi perkhidmatan terbabit bakal menemui pengguna pada masa akan datang,” katanya.
Kajian Aliran Navigasi Tele Atlas di China dan Thailand menunjukkan lebih 62 serta 46 peratus mahukan perkhidmatan berdasarkan lokasi (LBS) dan navigasi GPS pada telefon bimbit mereka pada masa akan datang.
Keputusan itu juga menyaksikan sistem navigasi diundi sangat penting untuk telefon bimbit selepas fungsi MP3 dan akses internet di China dan Thailand.
Tele Atlas memiliki pasukan yang mengkaji keadaan geografi di yang meliputi 11 negara Asia termasuk 4.5 juta kilometer jalan serta hampir 4.3 juta ‘Points of Interest’ (POI).
Pasukan ini menggunakan kenderaan yang dilengkapi dengan empat kamera yang merakam imej pada resolusi tinggi dan pengimbas untuk mengukur kawasan sebelum semua data itu dimasukkan dalam sistem.
Selain itu, kenderaan terbabit dilengkapi perkakasan odometer yang dipasang di bahagian tepi bagi membolehkan jarak destinasi diukur dengan ketepatan 0.5 hingga 1.0 inci.
Antara inovasi baru yang diperkenalkan Tele Atlas termasuk penanda kawasan tiga dimensi (3D) meliputi Malaysia, China, Hong Kong, Macau, Singapura, Taiwan dan Thailand membolehkan pengguna melihat objek dalam keadaan sebenar.
Peta digital memiliki cabarannya tersendiri sesuai dengan perkembangan pesatnya termasuk keupayaan mengetengahkan ciri mesra pelanggan menerusi produk itu
seperti skrin peta digital lebih jelas dan besar.
Malah mampukah syarikat seperti Tele Atlas mencipta pemuka yang
dilengkapi pelbagai bahasa mengikut negara seperti Inggeris, Melayu, Mandarin atau Jepun.
Di India saja, ratusan bahasa akan diungkapkan menjadikannya satu cabaran penting ketika membina peta digital.
Penyelesaian yang mempunyai penunjuk arah perjalanan bagi memastikan pemandu kenderaan berada di jalan betul, terutamanya dengan sistem jalan baru dan keadaan jalan raya di kota besar semakin rumit juga cabaran penting untuk memperoleh bacaan peta tepat.
Setakat ini, peta digital yang dipaparkan di skrin GPS itu adalah tepat dan ia dikemaskini bagi tempoh setiap enam bulan dalam setahun namun bagaimana jika berlaku penutupan jalan sementara?
Memiliki peta digital pada masa ini bukan hanya sebagai aksesori teknologi tapi pengguna yang hanya perlu menetapkan destinasi hendak dituju dengan memilih arah jalan tertentu sekiranya ada, dan peta digital GPS itu secara automatik akan menentukan perjalanan bakal jadi salah satu keperluan seperti mana evolusi telefon bimbit.
Carian melalui peta digital bagi lokasi boleh ditentukan menerusi nama kawasan, jalan, tempat yang hendak dituju atau nama terdekat menjelaskan lokasi pilihan.
Sistem yang dibantu antaramuka GPS ini akan melaporkan kedudukan terkini kenderaan dengan memberi maklumat berhubung jalan terbaik yang perlu dilalui untuk sampai ke destinasi pilihan dengan bantuan tiga daripada 24 satelit GPS.

No comments: